Tuesday, December 17, 2013

ANGGARAN PERMINTAAN AIR

Anggaran permintaan bekalan air boleh dibuat dengan mengambilkira:

*     Jumlah penduduk yang dibekalkan air
*     Penggunaan per kapita
*     Faktor perkhidmatan
*     Faktor rekabentuk
*     Faktor permintaan tambahan

Anggaran kegunaan air selalunya dirancang untuk tahun ufuk kurang dari 20 tahun dengan skim bekalan air bagi setiap 5 tahun. Perancangan yang menelebihi 20 tahun pada kebiasaannya akan menimbulkan masalah kerana anggaran permintaan yang kurang tepat. Namun begitu, had umur komponen-komponen struktur utama seperti empangan dan kolam simpanan biasanya tidak melebihi 50 tahun.


Formula anggaran permintaan bekalan air adalah seperti berikut :

WDn = Pn x q x F1 x F2  ............ + Dm

Dimana:
WDn    =          permintaan bekalan air pada tahun “n”
Pn        =          unjuran bilangan penduduk pada tahun “n”
q          =          permintaan bekalan air per kapita
F1        =          faktor perkhidmatan
F2        =          faktor rekabentuk
Dm       =          permintaan tambahan



Permintaan Bekalan Air Per Kapita

Permintaan air per kapita adalah jumlah air yang diperlukan seorang dalam satu hari

Permintaan air per kapita, q = jumlah keperluaan air dalam setahun (liter)
365  x  bilangan orang – hari

Pihak-pihak berkuasa tertentu mempunyai nilai per kapita yang tersendiri. Sebagai panduan, selalunya permintaan per kapita boleh dibahagikan dalam kategori :

            Urban ( bandar )   -   230 – 300  l/orang/hari

            Semi-urban           -   180 – 280  l/orang/hari
                                                Kawasan di sekitar sempadan bandar di mana
                                                taraf hidup dan penggunaan air adalah antara
                                                penggunaan di bandar dan luar bandar
            Rural                    -     135 – 180  l/orang/hari


Faktor Perkhidmatan

Faktor perkhidmatan menggambarkan peratus penduduk yang akan dibekalkan dengan air. Oleh kerana Malaysia adalah sebuah negara yang sedang membangun, maka peruntukan kewangan yang mencukupi menjadi penghalang kepada bekalan air 100%. Jadi pihak berkuasa air menetapkan matlamat dan polisi yang selaras dengan peruntukan yang ada bagi bekalan air yang mencukupi.


Faktor Rekabentuk

Walaupun permintaan per kapita telah pun ditentukan mengikut kategori kawasan dan penggunaan, masih ada terdapat perbezaan penggunaan air dari bulan ke bulan mengikut faktor-faktor musim, cuaca, tabiat masyarakat, aktiviti-aktiviti industri, perdagangan dan pertanian. Untuk mengimbangi perbezaan-perbezaan ini, faktor rekabentuk diperkenalkan bagi memastikan kesinambungan bekalan. Nilai-nilai faktor rekabentuk yang digunapakai adalah :

Kegunaan
Faktor
Domestik
Komersial/Sekolah
Industri ringan
Industri khusus
2.5
2.5
1.5
1.0

Permintaan Tambahan

Permintaan tambahan adalah permintaan yang bertujuan memenuhi keperluan pembangunan baru seperti kawasan perindustrian, kem tentera, institusi pengajian. Kadangkala ia  juga digunakan bagi memenuhi permintaan kawasan persekitaran kawasan kajian asal.

Sebagai contoh untuk permintaan tambahan bagi permintaan perindustrian adalah seperti berikut :

            Industri  ringan  -       22,000  l/hektar/hari
            Industri berat     -       45,000  l/hektar/hari

Selain daripada itu permintaan untuk meliputi jumlah bekalan air tanpa pulangan (NRW) dan permintaan tak terisi perlu diadakan bagi mencapai kesempurnaan rekabentuk.


Unjuran Penduduk

Rekod bancian adalah penting sebab darinya satu bentuk unjuran permintaan penggunaan air masa depan dapat dibuat. Rekod bancian penduduk digunakan sebagai asas ramalan pertambahan permintaan penggunaan air dalam tempoh rekabentuk, data-data penduduk dan juga pembangunan industri boleh didapati dari sumber-sumber berikut :

-          Jabatan Statistik / Perangkaan
-          Pejabat Daerah
-          Pejabat Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri
-          Pejabat Perancangan Bandar dan Desa
-          Unit Perancangan Ekonomi Persekutuan dan Negeri

-         Agensi berkaitan yang lain atau laporan terdahulu

0 comments:

Post a Comment